News
11 June 2018
News
Revenue Group sasar guna dana IPO perkukuh perniagaan

KUALA LUMPUR: Revenue Group Bhd, penyedia penyelesaian pembayaran tanpa tunai, menjangkakan dapat mengumpul sebanyak RM20.61 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Eddie Ng Chee Siong, berkata RM8.1 juta daripada hasil itu akan digunakan sebagai perbelanjaan modal (capex) untuk aktiviti pengembangan di Malaysia dalam tempoh 24 bulan.

Sementara RM4.04 juta pula, katanya, akan digunakan untuk meningkatkan dan meluaskan capaian platform revPAY dan merekrut lebih ramai kakitangan dalam bidang teknologi maklumat.

Beliau berkata, selain itu, syarikat akan menggunakan RM2.5 juta untuk membayar balik pinjaman bank, RM1.5 juta untuk pengembangan perniagaan ke Kemboja dan Myanmar, RM1.77 juta untuk keperluan modal kerja am manakala RM2.7 juta akan diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian IPO.

“Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi institusi kewangan tempatan di negara yang terbabit (Kemboja dan Myanmar) untuk menyediakan perkhidmatan pemprosesan bayaran elektronik pelbagai jenis kad.

“Kami merancang untuk membeli kira-kira 9,000 unit terminal data elektronik digital baharu dengan keupayaan untuk menerima Pembayaran Respons Pantas, dalam tempoh 24 bulan.

“Kami percaya terdapat potensi untuk pertumbuhan penyelesaian pembayaran elektronik di negara ini kerana sistem pembayaran elektronik mereka masih dalam tahap yang semakin meningkat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan prospektus di sini, hari ini.

Mengenai perancangannya untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities Bhd yang dijadualkan pada 18 Julai 2018, Revenue Group menawarkan 55.71 juta saham baharu berharga 37 sen sesaham, yang mana 11.14 juta saham baharu akan ditawarkan kepada rakyat negara ini menerusi undian.

Sementara itu, sebanyak 11.14 juta saham baharu diperuntukkan untuk pengarah dan pekerja syarikat yang layak manakala baki 33.43 juta saham baharu akan ditawarkan kepada penempatan swasta dan pelabur terpilih.

IPO berkenaan sedia untuk dilanggan bermula semalam hingga 6 Julai depan.

Source: Berita Harian